Ahlan Wa'sahlan, Selamat Datang, Welcome, Vanakam

"Kami mengucapkan Selamat Datang kepada semua pengunjung blog kami
"

Jumaat, 5 Oktober 2012


Inilah Rupanya Tangan Kanan Anakku





Muhammad Nasrulhaq Farhan Yang Kuat & Tabah

TRAGEDI 16 SEPTEMBER 2012

Hari ini tanggal 5 Oktober 2012, hari Jumaat bersamaan 19 Zulkaedah 1433 Hijrah.  Ini bermakna sudah 19 hari kejadian Tragedi 16 September 2012 yang hampir meragut nyawa anakku.  Nyaris aku kehilangan anak lelaki lagi setelah perginya anak lelaki sulungku 11 tahun lalu akibat demam panas ketika usianya 2 tahun 2 bulan.
 
16 September 2012, hari Ahad bersamaan 29 Syawal 1433 Hijrah.  Pagi yang hening dan damai.  Burung-burung berkicau riang.  Ada yang bertengek di pohon mangga di hadapan rumahku.  Sekawan monyet dan kadang kala lotong sedia mengintai buah-buah mangga yang sedang membesar.  Tak lama lagi ranum masak dipohon ketika itu.

Jiran-jiranku ada yang telah ke rumah Ustaz Rauyan Monagen, ustaz yang mengajar anak-anakku mengaji IQRA dan Al-Quran.  Tak patut kalau aku sekeluarga tidak menolong gotong royong rewang.  Apatah lagi ini kenduri perkahwinan anak perempuan sulungnya yang merupakan kali pertama dalam keluarga ustaz.  Semalam (Sabtu) aku bertugas di Program Merdeka Raya anjuran Jabatanku sendiri sebagai Jawatankuasa Penyambut Tetamu, isteriku pun ke sekolah. 

Jadi hari ni kena pergi juga, bentak hatiku.  Bila lagi nak bermasyarakat ... Aku cuba untuk menunaikan tangggungjawabku untuk lebih awal keluar rumah bagi membantu apa yang patut. 
Lebih kurang jam 10 pagi, panggilan telefon dari anakku meminta aku pulang atas desakan ibunya.  Mujur aku membawa telefon bimbit. 

Kurang 3 minit aku sudah sampai di rumah, isteriku telah sedia memandu kereta ke Hospital Tanjong Karang.  Kulihat anakku terdiam membisu macam trauma.  Lengan tangan kanannya yang dibalut dgn kain lampin penuh dengan darah.  Sambil memandu laju, isteriku berkata, kemalangan ketika dia mengundurkan MPV Exora yang baru kami beli.  Belum sampai sebulan lagi usianya.

Masa isteriku masuk ke dalam kereta, anakku sudah memusing ke belakang dan muncul untuk membuka pintu kereta, isteriku tak sedar, yang dia ingat ada dengusan "aduh" sahaja.  Bila dilihat rupanya anakku tersepit tangannya di pintu dan dia tersepit di tembok dinding pagar (batu) tepi rumah.  Alhamdulillah cepat disedari dan niat mengundur hanya sedikit bertujuan untuk membuka bonet depan kereta hendak memeriksa minyak hitam, air dan lain-lain yang patut.  Itulah penangan gear automatik, sikit sahaja ... hasilnya ...

Namun kesilapan tetap pada manusia.  Walau kereta kita secanggih macam mana sekalipun, ada kamera belakang, ada sensor, kalau takdir dah menentukan, kita tidak mampu mengatasinya kerana ia kuasa dariNya Yang Maha Kuasa.  Tapi ingatlah bahawa kesilapan sebegitu, kita perlu menutup pintu rumah sewaktu kita keluar walau dalam urusan yang kecil dan memastikan tidak ada yang mengikuti kita.  Itulah sedikit kecuaian isteriku dan anak-anakku yang lain di mana ketika itu ..

Akhirnya anak manjaku menerima 3-4 jahitan di otot dalam dan 14 jahitan di luar menjadi "habuan" anak bongsuku ini.  Alhamdulillah tidak masuk wad, anakku masih "kuat" walau kelihatan pucat.  Petangnya, kami berjumpa juga dengan ustaz sebagai tanda hormat sebagai jiran dan guru kepada anak-anakku semua.  Jasanya sehingga anakku yang sulung (kini) dapat khatam Al-Quran seusia 10 tahun.
 
1 kenduri perkahwinan rakan sejawatan isteriku di Kampung Bukit Kuching, kenduri Pak Ngah dan Mak Ngah Trolak hendak pergi menunaikan Fardhu Haji, jiran belakang rumah (Rahmat dan Soleha) dan ustaz Alias yang mengadakan open house di hujung Syawal semuanya aku dan keluarga tidak hadiri walau hari berkenaan aku ingin benar ke FELDA Trolak berjumpa dengan Pak Ngah dan Mak Ngah dan minta mereka mendoakan apa yang patut untukku sekeluarga dan mendoakan agar ayah berubah sikap dan sedar bahawa di dunia ini duit, kesenangan harta benda bukanlah segala-galanya.
 
Tanggal 26 September 2012, hari Rabu tibalah masanya jahitan luar tangan Muhammad Nasrulhaq Farhan akan dibuka.  Berduyunlah kami sekeluarga ke Klinik Kesihatan Kecil Kuala Selangor untuk membuka jahitan.  Malangnya senior nurse tidak berani membuka dan di rujuk kepada Medical Assistant (MA) dan dirujuk juga dengan boss mereka. Dah tentu seorang doktor dan doktor ni bergred UD44, kira doktor senior tapi belum pakar lagi kot.  Dia pun tidak berani membukanya dan kes dirujuk ke Unit Trauma, Bahagian Kecemasan, Hospital Sungai Buloh.  Katanya kalau boleh petang tu juga.  Tapi kami lewatkan, esok pagi-pagi kami dah bertolak dari rumah menuju ke Hospital Sungai Buloh yang kini hanya memakan masa 35 minit menggunakan Highway LATAR.  Alasan paling mudah ketidak beranian tersebut adalah jahitannya sepatutnya satu-satu bukan bersambung.
 
27 September 2012, doktor, MA dan Senior Nurse di Klinik Kesihatan Kuala Selangor digelakkan oleh doktor pakar.  Malah yang membukakan jahitan di sana hanya seorang MA.  Di sana doktor yang mengambil kes anakku adalah salah seorang doktor yang bertanggungjawab ketika aku menjalani pembedahan penyakit herniaku pada 3 April 2012 yang lalu.
 
Kini lukanya semakin sembuh hasil dari ketabahan dan dipermudahkan Allah S.W.T. untuk anakku mudah makan ubat-ubat yang diberikan oleh pihak hospital.  Pada semua jururawat, MA, doktor, diucapkan terima kasih.
 
Nadi hidup tidak berhenti setakat ini, ada keperitan membesarkan yang akan dikongsi dengan kalian di lembaran akan datang.
 
Ketemu lagi di lain waktu dan ketika.  Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan