Ahlan Wa'sahlan, Selamat Datang, Welcome, Vanakam

"Kami mengucapkan Selamat Datang kepada semua pengunjung blog kami
"

Khamis, 29 April 2010

Memoirku Sempena Hari Guru 2010








Dulu DIA pegang rotan,
KAU kata DIA garang ...
Bila DIA lambat masuk ke kelas,
KAU kata DIA malas ...
Bila DIA marah-marah,
KAU kata dia melampau,
Kini ... KAU adalah DIA
Jadi ... SELAMAT HARI GURU untuk KAU yang telah menajdi DIA
"Selamat Menyambut Hari Guru"

Inilah sebahagian daripada petikan SMS yang sedikit masa dulu dihantar ke sana sini. Meriah sungguh ... Sama meriahnya dengan suasana sambutan yang sama sekitar tahun 1978 ketika aku berada di darjah 1, belajar di Sekolah Kebangsaan Telok Medan (SKTM) Bagan Serai, Perak. Cuma cara sambutannya tidak sama seperti mana kini.

Paling aku ingat sambutan Hari Guru masa aku di sekolah rendah adalah tentang pengisian acara silapmata. Pandai silap mata itu "menipu" atau mungkin aku dan kawanku yang lain "tertipu". Maka keluarlah dari dalam topinya bendera tiga segi kecil-kecil seumpama bendera yang diletakan di padang sekolah sewaktu sukan sekolah ... berwarna-warni. Akhir sekali keluar seekor burung merpati. Kali terakhir aku melihat silap mata apabila pegawai Bahagian Latihan Biro Tatanegara (pegawaiku juga) membakar duit sebenar tapi sebenarnya duit tu tak terbakarpun ... ntah, sampai sekarang aku tiada jawapannya ...

Kini bukan sahaja bangunan sekolahku yang dahulunya hanya bangunan kayu usang telah bertukar menjadi "hutan batu". Gambar bangunan lama kayu tersebut hanya boleh dilihat melalui gambar profail facebook Siti Hajar, lainnya hanya tinggal kenangan yang pasti kekal dalam ingatan.

Dulu aku dengan kawan-kawan boleh lagi main "police sentri" main guli di bawah bangunan usang tersebut. Bila tengahari waktu rehat, aku dan seorang dua kawan-kawan makan bekal di bawah bangunan tu. Nyorok-nyorok makan, malu. Ntah kenapa, aku tak macam budak-budak lain, pendiam. Kalau bawa balik bekal yang emak bagi, nanti kena marah. Kadang-kadang aku kongsi bekal tu supaya isi kandungannya habis, biar tak bersisa.

Kalau tak bersisa, ibu suka. Ibu gembira. Ibu kata duit boleh simpan dalam tabung. Lama-lama duit jadi banyak. Keluargaku bukannya senang. Duit poket masa tu cuma ayah bagi 2 kupang ja (20 sen) setiap orang anaknya. Itu jam 2 kupang pun dah boleh beli macam-macam. Kacang goreng 2 bungkus kecil baru 5 duit (5 sen). Nasi lemak baru 5 sen sebungkus. Kenyang giler woo, minum air teh o yang dibekalkan oleh ibu.

Aku cerita pasal ibuku ni bukan apa. Ibulah "Guruku" yang pertama dan utama dalam hidupku. Ibuku ibu sejati dalam hidupku. Walaupun ibu buta huruf (tidak sepenuhnya) tapi ibu akan ajar setiap orang anak-anaknya abjad ABC sampailah Z dan angka 0 hinggalah 9. Dulu mana ada tadika atau sistem pra-sekolah di desaku seperti mana zaman anak-anakku sekarang. Hanya ibuku akan jadi guruku dan adik beradik yang lain sebelum kami masuk darjah satu.

Walaupun ibu buta huruf tapi ibu masih boleh membaca "sebiji-sebiji". Itupun yang penting-penting saja. Contohnya setiap perkataan di kepala bas, sebab ibu akan menaiki 2 buah bas jika nak ke rumah Tok (nenek) di Tanah Kebun, Simpang Lima, Parit Buntar. Selain itu, ibu akan mengingat warna. Tapi masa dulu warna bangunan, bas atau kedai tak tukar cat suka-suka. Sekarang cara ni dah tak boleh pakai dah.

Walaupun ibu kekurangan dari sudut itu, tapi beliau berpesan agar kami adik beradik jadi seperti adiknya yang ku panggil Pakcik Deris ( Mohamad Idris). Belajar rajin-rajin walau aku tak mampu menunaikan harapan ibu untuk belajar hingga ke menara gading jauh sekali ke oversea. Pakcik Deris adalah satu-satu adik ibu yang telah belajar ke United Kingdom.

Ada beberapa orang insan yang membolehkan aku menjadi manusia sekarang. Selain ibu dan diriku sendiri, bapa saudaraku Pakcik Deris, kakakku Masriah dan beberapa orang guruku semasa di sekolah rendah dan menengah iaitu cikgu Norizan (SKTM), cikgu Norsalehan binti Haron dan cikgu Fatimah Hani binti Said (SMAI).

Aku melihat kakakku gigih dalam menuntut ilmu, dia ada misi dan visi dalam kehidupan pendidikannya. Walaupun beliau hanya mendapat Gred 3 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mengulang SPM lagi untuk mencari keputusan yang lebih baik. Mengulang di sekolah agama rakyat di Madrasah al-Ridzuaniah, Telok Medan. Walaupun keputusannya selepas itu sama saja, tapi beliau meneruskan untuk belajar aliran agama. Kini beliau telah mengajar di Sekolah Rendah Agama setelah beberapa tahun (sebelum berkahwin dulu), beliau mengajar di surau fardhu ain.

Dengan cikgu Norizan, aku cepat belajar tentang jam, bagaimana melihat jam sebenar. Tatkala kawan-kawan sekelasku yang lain masih terkial-kial dan kena marah dengan cikgu Norizan. Sebab itu masa bagiku amat berharga. Betapanya berharga masa, ianya diadaptasi apabila aku berkerja di Bahagian Biro Tatanegara. Bagaimana kalau kita nak membentuk peserta betapa pentingnya setiap minit jika kita tidak punya disiplin masa yang kuat. Fikirkanlah ...

Paling bermakna dalam hidup aku yang memberi ruang aku melihat ke hadapan adalah susah payah seorang guru kelasku. Sebelum tu, jasa cikgu Norsalehan binti Haron, guru kelas semasa aku di Tingkatan 5 (5 Sastera 1) telah meninggalkan satu sistem pembelajaran subjek Bahasa Melayu yang cukup kuat untuk aku bangkit dari kegagalan. Aku gagal dalam SPM pada 1988 walaupun aku berada di kelas yang terbaik dalam aliran Sastera.

Bahasa Malaysiaku tidak kredit walaupun aku mendapat Gred 2 dengan 5 mata pelajaran kepujian. Hancur hatiku tidak siapa yang tahu ketika itu. Setelah ditimbang dan melihat kegigihan kakakku, kenapa tidak aku mencuba lagi. Aku mengambil semua subjek dan hanya belajar di rumah. Masa-masa aku selebihnya adalah menolong ayah dan ibu ke sawah ladang serta ke kebun kelapa serta koko. Aku juga mencuba nasib mengerjakan sawahku sendiri sebanyak 2 ekar selain memelihara 100 ekor ayam kampung dengan bantuan ibu.

Alhamdulillah penat lelahku mengulangkaji sendirian di rumah selepas subuh dan sebelum tidur (walau aku kepenatan dengan rutin harian), akhirnya aku mendapat keputusan SPMku sehari selepas diumumkan oleh Kerajaan melalui pos. Aku kekal dengan Gred 2, dengan agreget yang lebih kecil dari dahulu dan kekal dengan 5 kepujian. Sekiranya teks Sastera tidak ditukar, mungkin aku dapat 6 kepujian malah Bahasa Melayuku dari 8 (lulus) kepada 4 (kepujian). Terima kasih cikgu Norsalehan yang "meninggalkanku" selepas berlaku kemalangan. Di mana guruku ini sekarang, jenuh aku mencarinya, begitu juga dengan guruku yang ini ... Fatimah Hani binti Said.

Tapi aku juga tidak lupa kepada cikgu Norhayati, guru yang menggantikan cikgu Norsalehan setelah beliau mendapat kecelakaan jalan raya dan parah. Walaupun cikgu Norsalehan hanya sempat mengajarku 2 bulan sahaja (kalau tak silap) pada tahun 1988 (Januari dan Februari) tapi beliau telah meninggalkan tapak yang kuat dalam subjek Bahasa Melayu sedari aku di tingkatan 4 lagi.

Aku akui cikgu Norhayati (Yati) tidak sebaik dan setegas cikgu Norsalehan. Beliau asalnya guru praktikal dari USM. Ntah macam mana beliau menggantikan terus cikgu Norsalehan dan menjadi guru kelasku ketika itu. Sebab itu aku main-main (malah rakan-rakanku yang lain juga main-main bila beliau mengajar subjek Bahasa Melayu). Aku pula di rumah akan berbahasa Banjar kerana itulah bahasa ibundaku. Akhirnya diri sendiri terima padah. Walau apa pun, kalau aku ada menyusahkannya dahulu, aku ingin mohon maaf. Sekarang rakan sekelasku (yang juga seorang guru) Mohd Shafie bin Shaari mengatakan bahawa, cikgu Yati ada dan mengajar di sekitar Parit Buntar.

Fatimah Hani binti Said ... adalah nama besar dalam seluruh kehidupan aku. Disebabkan oleh beliaulah (selepas ibuku), aku menjadi seorang insan dan manusia yang berguna. Berguna untuk diri sendiri serta keluarga, berguna untuk masyarakat, agama dan negara. Walaupun aku bukannya seorang yang berpangkat besar kerana aku hanya sebahagian daripada "arkitek" yang akan menentukan hala tuju masayarakat masa depan.

Hanya aku dan cikgu Fatimah Hani saja yang tahu kenapa, mengapa aku selalu tidak datang ke sekolah ketika aku berada di tingkatan 4 dulu. Sudut pandangan guru sejati tepat sekali. Aku seorang yang cintakan ilmu tapi kerana "masalah" itu aku hilang keyakinan diri. Ianya menjadi lipatan sejarah yang begitu besar maknanya dalam hidupku. Sesuailah juga guruku ini menjadi guru kaunseling.

Kini aku melayari hidupku semuanya berasaskan keyakinan yang dibina oleh guru yang bernama Fatimah Hani Said dan semua guru-guruku yang lain. Banyaknya keyakinan itu datang setelah setiap kali kegagalan yang aku tempuhi. Kan aku adaptasikan dan implimentkan apa yang telah berlaku dalam hidupku untuk menjadi panduan generasi akan datang.

Sedikit masa dahulu aku didik peserta Kursus Bina Negaraku terutamanya para belia remaja (kerana aku di Unit Belia & Badan Sukarela, Bahagian Latihan Biro Tatanegara, JPM). Ketika itu aku adalah Penolong Pegawai Latihan, kalau di kem (tempat kursus) aku adalah Penolong Penyelaras Kursus. Kini suasana lebih terbuka, kalau di BTN aku mendidik dan memotivasikan orang Melayu sahaja, sekarang untuk semua kaum.

Menjadi tugas kami sebagai pegawai dan kakitangan di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk memelihara, mengekal dan menambaik soal perpaduan di antara kaum dan di dalam kaum itu sendiri.

Adakah aku juga boleh diklasifikasikan sebagai seorang GURU? Bukan apa pada 14 Mei 2010, aku mendengar khatib membaca khutbah sembahayang Jumaat. Sebagai kesimpulan dan semangat kepada semua yang dipanggil Guru, Cikgu, Ustaz atau yang sewaktu dengannya ...

"Biarpun gaji seorang guru tidak memungkinkan untuk menjadi Jutawan di dunia ini, tapi sudah pasti akan menjadi JUTAWAN di AKHIRAT kelak. Itupun bergantung kepada ketulusan bekerja dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan berhati bersih". Itulah janji Allah S.W.T."

"Biarlah menjadi GURU kerana GURU umpama seperti sebatang pokok, walaupun dibaling batu oleh orang lain tapi BIARLAH pokok tersebut menggugurkan buah yang masak ranum dan manis pula untuk dinikmati oleh orang lain".

"SELAMAT HARI GURU 2010", hanya Allah S.W.T. yang akan membalas jasa kalian seadilnya. Moga menjadi amal jariah yang berpanjangan.


Nukilan ini didedikasikan kepada :

Arwah ibuku, Masniah binti Haji Amin, kaulah GURUKU yang sejati

Isteriku Siti Norsnasiah binti Abd Wahab, kerana beliau seorang GURU

... anak-anakku Siti Nur Nabilah, Siti Nur Farhana, Siti Nur Zafirah
kerana cita-cita mereka untuk menjadi GURU

Juga ... cikgu Fatimah Hani binti Said, GURUKU yang penuh berdedikasi
cikgu Norsalehan binti Haron, jasamu tetap ku kenang
cikgu Norizan yang memberi erti sebenar tentang MASA dan
semua GURU dan PENOLONG GURU Tabika Perpaduan
di bawah penyeliaanku ....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan